KUALA LUMPUR : Sepasukan pegawai dan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hadir ke ibu pejabat Kumpulan Prasarana di Bangsar hari ini bagi mengambil dokumen berkaitan siasatan ke atas syarikat itu.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki berkata, siasatan telah dijalankan suruhanjaya itu terhadap syarikat pengoperasian pengangkutan awam milik penuh Kementerian Kewangan itu.
“Ya, saya boleh sahkan SPRM telah mula menyiasat kes ini dan pegawai saya ke Prasarana untuk ambil dokumen.
“Selain itu kita juga akan panggil mereka yang terlibat dalam masa terdekat ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan mengenai dakwaan pengerusi Tajuddin Abdul Rahman yang cuba menggunakan kedudukannya untuk melakukan perubahan signifikan dalam syarikat itu.
Tajuddin, yang merupakan anggota Majlis Tertinggi Umno dan Ahli Parlimen Pasir Salak didakwa menggunakan kuasa untuk mengubah beberapa perkara dalam syarikat itu.
Beberapa perubahan dikatakan telah menimbulkan persoalan tentang kepimpinan dan hala tuju syarikat.-UTUSAN ONLINE