SPPP buka RFP bangunkan feri ikonik sebagai muzium, restoran terapung - Utusan Malaysia

SPPP buka RFP bangunkan feri ikonik sebagai muzium, restoran terapung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) membuka permintaan untuk cadangan (RFP) kepada syarikat-syarikat yang berpengalaman dan orang ramai yang berminat menjadikan feri ikonik Pulau Pinang sebagai muzium atau restoran terapung atau feri pelancongan.

Pengerusinya, Datuk Tan Teik Cheng berkata, tawaran pajakan feri ikonik itu adalah bagi tempoh selama 10 tahun dengan pilihan penyambungan selama lima tahun. 

Menurut beliau, iklan RFP itu akan dipaparkan di dalam laman web SPPP di www.penangport.gov.my serta di akhbar-akhbar perdana dan di media sosial SPPP. 

Katanya, dokumen RFP itu akan mula dijual pada 29 Januari ini manakala tarikh tutup pembeliannya pada 15 Februari ini. 

“Berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dokumen RFP hanya boleh diperoleh secara atas talian. 

“Tarikh tutup bagi syarikat-syarikat yang berminat untuk mengemukakan cadangan pula adalah pada 19 Mac ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Bermula 1 Januari lalu, perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang yang berusia lebih 120 tahun tidak lagi digunakan untuk membawa penumpang pejalan kaki selepas digantikan dengan feri bot laju. 

Bagaimanapun, feri ikonik sedia ada yang berusia lebih 40 tahun masih digunakan untuk membawa penunggang basikal dan motosikal sebelum ditamatkan sepenuhnya yang dijangka pada Julai tahun depan. 

Dalam pada itu, Teik Cheng berkata, SPPP turut bersetuju menghadiahkan sebuah feri ikonik Pulau Pinang itu kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang seperti diminta Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari sebelum ini. 

Jelas beliau, pemberian itu mengambil kira hubungan serta kerjasama baik SPPP dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang selain kedua-dua pihak mempunyai matlamat sama iaitu demi kepentingan penduduk Pulau Pinang. 

Sebelum ini, Zairil dilaporkan berkata, Pulau Pinang sedia mempertimbangkan untuk mengambil alih feri ikonik itu sekiranya SPPP dan Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) sudi ‘menghadiahkan feri tersebut kepada kerajaan negeri. 

Menurutnya, ketetapan itu turut diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya