Solat fardu, Jumaat dibenarkan di Pulau Pinang dengan jumlah terhad  - Utusan Malaysia

Solat fardu, Jumaat dibenarkan di Pulau Pinang dengan jumlah terhad 

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Solat fardu di semua masjid dan surau di negeri ini dibenarkan dengan maksimum seramai 15 jemaah berkuat kuasa hari ini. 

Timbalan Ketua Menteri I,  Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, prosedur operasi standard (SOP) terkini itu turut memutuskan solat Jumaat juga dibenarkan dilaksanakan antara 12 hingga 45 jemaah berusia 15 hingga 70 tahun termasuk jawatan kuasa kariah, pegawai masjid serta siak. 

Menurut beliau, pelaksanaan solat jenazah bukan Covid-19 di masjid dan surau pula dihadkan kepada 20 orang, bagaimanapun ziarah kubur selepas pengebumian selesai tidak dibenarkan. 

“Ruang solat musafir juga disediakan di masjid dan surau bagi kemudahan pekerja e-hailing, khidmat penghantaran dan seumpamanya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Sebelum ini, Pulau Pinang menangguhkan beberapa aktiviti di masjid dan surau negeri itu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan bermula 13 hingga 26 Januari. 

Antara aktiviti yang ditangguhkan ialah solat fardu dan Jumaat bagi orang awam serta urusan akad nikah. 

Ahmad Zakiyuddin yang juga Yang di Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata, laungan azan di masjid  digantikan dengan lafaz khas bermaksud ‘solatlah di rumah kamu’. 

“Kebenaran turut diberikan hanya kepada aktiviti bacaan yasin dan tahlil kepada 15 orang terdiri daripada pegawai masjid, siak dan ahli jawatan kuasa kariah sahaja selepas solat fardu. 

“Semua aktiviti pengimarahan dan aktiviti sosial secara bersemuka adalah tidak dibenarkan,” katanya. 

Tambahnya, urusan akad nikah dibenarkan berlangsung di Pejabat Agama Daerah masing-masing dan terhad kepada 10 individu. 

Dalam pada itu, katanya, arahan pelaksanaan aktiviti masjid dan surau itu akan dikeluarkan dari semasa ke semasa secara berperingkat tertakluk kepada situasi perkembangan terkini wabak Covid-19 serta atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). 

“Sama-samalah kita membantu kerajaan dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya