Sindrom burung unta kuburkan UMNO - Utusan Malaysia

Sindrom burung unta kuburkan UMNO

NAJIB Tun Razak ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pekan di Pekan, Pahang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Setiap ahli dan kepemimpinan UMNO perlu mengelak diri dari dihinggapi ‘sindrom burung unta’ iaitu apabila berdepan sebarang masalah terus meletakkan kepala dalam pasir. 

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kononnya dengan menyorokkan kepala itu dapat mengelakkan diri daripada musuh dan berdepan dengan masalah dihadapi. 

“Ini bukan cara untuk menang. Untuk menang kita mesti berani mengambil risiko, kita mesti berani kenal pasti masalah dan cara selesaikannya. 

“Kita juga mesti berani mengubah taktik dan strategi di tengah jalan jika taktik sedia ada tidak berkesan. Parti yang yakin diri dan mempunyai formula kemenangan akan dilihat sebagai parti kuat dan magnet kepada parti-parti lain. 

“Kita perlu keberanian bukannya ketidaktentuan,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pekan, di sini hari ini. 

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pekan berkata, sejak 10 Mei 2018, parti itu berada dalam ketidakpastian dan terumbang ambing.

“Untuk kembali menjadi sebuah parti siasah dominan negara, kita harus bermula dengan majoriti kemenangan diikuti dengan perancangan dan pelaksanaan yang rapi.

“Hakikatnya, UMNO bukan parti yang diwujudkan untuk menjadi parti pendokong atau penyokong jauh sekali sebagai pembangkang. UMNO wujud sebagai api peneraju, kita parti yang memimpin bukan parti yang dipimpin,” tegasnya.

Beliau berkata, selepas 2018, UMNO kini dilihat semakin kuat namun sedang mengalami penyakit kronik iaitu hilang arah tuju. 

“Kita sedang alami penyakit kronik, penyakit tidak di sini, tidak di sana, asal ‘okey okey’ sahaja. Sebagai sebuah parti berpengaruh kita tidak berani menghadapi risiko yang perlu untuk ambil kedudukan selayaknya sebagai parti peneraju yang memimpin tetapi sanggup dilayan ibarat melukut ditepi gantang,” ujarnya. 

Beliau dalam pada itu mempersoalkan kenapa UMNO mensia-siakan apa sedang digendong setelah keyakinan dan keberanian diuji.

“Kenapa musuh dan persaingan politik kita dibenarkan untuk menang di meja rundingan, apa yang mereka tak mungkin menang di medan pilihan raya, itu ibarat tersungkur di pintu kejayaan kerana tersandung bayang-bayang sendiri,” jelasnya.  – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya