Simpan Murai Batu: Lelaki ditahan lagi - Utusan Malaysia

Simpan Murai Batu: Lelaki ditahan lagi

SEBAHAGIAN daripada burung Murai Batu yang dimiliki seorang lelaki berusia 43 tahun dipercayai untuk diseludup keluar negara sebelum dirampas Perhilitan di Felda Simpang Waha, Kota Tinggi, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki yang masih disiasat atas kesalahan cuba menyeludup burung Murai Batu sekali lagi ditahan selepas dipercayai menyimpan hidupan itu untuk diseludup ke negara jiran.

Lelaki berusia 43 tahun itu ditahan dalam serbuan pukul 2.30 petang di sebuah premis perniagaan di Felda Simpang Waha, Kota Tinggi semalam. 

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban berkata, lelaki terbabit pernah ditahan atas kesalahan sama pada 9 Disember lalu di Teluk Ramunia.

“Pemeriksaan di premis berkenaan mendapati sebanyak 62 ekor burung Murai Batu hidup, 35 ekor burung Murai Batu mati dan 51 sangkar besi yang kesemuanya bernilai RM15,000 dirampas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau,  lelaki berkenaan tidak memiliki dokumen sah bagi menyimpan hidupan liar berkenaan.

“Kesemua haiwan itu dibawa ke Pejabat Perhilitan Bandar Penawar, Johor untuk tindakan selanjutnya,” jelas kenyataan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) kerana memburu atau menyimpan hidupan liar yang dilindungi dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Salman memaklumkan suspek sebelum ini ditahan pada 9 Disember lalu kerana cuba menyeludup 260 burung Murai Batu ke negara jiran.

“Kesemua haiwan berkenaan dirampas manakala kes tersebut masih dalam proses siasatan,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya