Si penjual ubat dan harapan palsu - Utusan Malaysia

Si penjual ubat dan harapan palsu

PEGAWAI penguat kuasa memeriksa ubat-ubatan yang dirampas di sebuah stor di Butterworth - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

‘HANYA sapu di lutut, sakit akan hilang. Emak abah sudah boleh solat berdiri dalam masa seminggu! Berbaktilah kepada mereka selagi hayat masih ada.’

Itulah lebih kurang ayat promosi satu produk ubat sapu kononnya boleh menyembuhkan sakit lutut dalam masa paling tak masuk akal. Seminggu. Sasarannya ialah warga emas.

Mengajak berbakti pada orang tua itu dah betul. Tetapi mempengaruhi supaya membeli produk ajaib, itu yang tidak betul kalau ia sekadar memberi harapan palsu kepada orang tua yang tentunya menaruh harapan tinggi untuk kembali sihat.

Dan ditunjukkan pula macam-macam testimoni termasuk seorang anak memberitahu ibunya sudah tidak perlu menggunakan tongkat lagi setelah tak sampai seminggu menyapu minyak itu di lutut! Luar biasa sungguh.

Dari mana dapat ubat itu? Apa ramuannya sampai tidak perlu melakukan pembedahan beribu ringgit dan tak perlu buat pelbagai rawatan susulan di hospital?

Bukan setakat sakit lutut saja, banyak produk ubat-ubatan alternatif lain jika diperhatikan yang sembang kencang dalam laman sosial. Antaranya boleh menyembuhkan kanser, kencing manis, darah tinggi, Gerd termasuk Covid-19!

Kalau begitu, tak perlulah tunggu vaksin. Tak perlu gaduh-gaduh siapa patut kena vaksin dulu untuk lihat keberkesanannya. Jual saja di pusat kuarantin, pasti laku keras dan bolehlah kita semua merentas daerah dan negeri untuk makan angin, penawar sudah ada. Boleh dibeli secara online.

Begitulah segelintir pe­niaga online yang sa­ya faham mereka pun cari makan, tetapi mem­beri harapan palsu dan mem­promosi secara melampau-lampau ubat yang mereka jual tentunya itu strategi pemasaran yang tidak beretika.

Saya pasti yang menjual pun ramai tidak tahu kandungan ubat-ubatan tersebut. Mereka sekadar menjual dengan harapan ramai membeli bukan fikir sangat sama ada menyembuhkan. Ada juga tak pernah mencubanya

Kementerian Kesihatan (KKM) juga sudah beberapa kali membuat rampasan dan mengeluarkan kenyataan tentang ubat-ubatan tiruan dan kosmetik-kosmetik yang mengandungi racun.

Saya berharap kemen­terian ini memantau secara berterusan penjualan ubat-ubatan alternatif yang belum lagi mendapat kelulusan KKM tetapi sudah dijual secara meluas dalam laman sosial.

Ada juga pengguna yang bertanya kepada penjual di laman sosial, adakah ubat itu sudah dapat kelulusan KKM, tapi secara terbuka penjual menjawab masih dalam proses.

Saya bukan menolak perubatan alternatif yang menggunakan herba-herba atau sebagainya. Tetapi sebelum ia dijual kepada orang ramai, produk tersebut haruslah dijamin selamat digunakan.

Dan janganlah mempromosi bukan-bukan, sehingga tak masuk dek akal. Yang kasihannya adalah pesakit yang menaruh harapan tinggi untuk sembuh, seperti pesakit kanser, orang tua yang ingin kembali solat berdiri atau pesakit kronik lain.

Ada antara hidup susah tetapi berusaha untuk membeli dengan harga ratusan ringgit. Dan setelah sebotol tidak sembuh dikata perlu ambil empat atau lima botol baru nampak kesannya. Sudah beli lima botol tapi tiada kesan, menghubungi semula penjual, kena ‘block’ pula sebagai jalan selesai penjual.

Jangan mengaut keuntungan atas kesusahan orang lain. Ini yang dikatakan buruk perangai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya