Shafee gagal padam afidavit pegawai khas - Utusan Malaysia

Shafee gagal padam afidavit pegawai khas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah gagal mendapat kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonannya untuk memadamkan afidavit pegawai khas bekas Peguam Negara, Tommy Thomas.

Afidavit oleh Siti Rahayu Mohd. Mumazami antara lain  menyebut terdapat maklumat baharu yang mendakwa sejumlah RM9.5 juta dibayar kepada Muhammad Shafee daripada akaun bank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak antara 2013 dan 2014.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Tan Sri Rohana Yusuf yang bersidang bersama Datuk Nallini Pathmanathan dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal sebulat suara memutuskan demikian selepas mendapati permohonan untuk mendapat kebenaran itu dibuat secara pramatang.

“Permohonan ditolak kerana  isu yang ditimbulkan dalam permohonan boleh dibangkitkan sewaktu rayuan di Mahkamah Rayuan,”kata Hakim Rohana pada prosiding yang dijalankan melalui aplikasi Zoom.

Turut serta pada prosiding ialah peguam, Harvinderjit Singh mewakili Muhammad Shafee manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim diwakili peguam, Datuk Seri Gopal Sri Ram sementara pihak Kerajaan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan.

Muhammad Shafee memohon kebenaran merayu berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan beliau bagi memadam afidavit Siti Rahayu atau menyoal balas wanita itu.

Pada 29 November 2018, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Muhammad Shafee untuk memadam afidavit dan menyoal balas Siti Rahayu namun membenarkan peguam itu menjadi pencelah dalam rayuan Anwar berhubung tindakan sivil beliau berhubung sabitan kes liwat terhadapnya.

Mahkamah Rayuan pada 5 Mac ini akan mendengar rayuan Anwar berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan saman pemula beliau berhubung sabitan dalam kes liwat membabitkan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Anwar dalam saman pemulanya terhadap kerajaan Malaysia mendakwa bahawa beliau tidak dibicarakan dengan adil dalam rayuannya berhubung sabitan kes liwat terhadapnya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu memohon satu deklarasi bahawa sabitan terhadapnya oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 adalah ultra vires (melangkaui kuasa) Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu ia adalah terbatal serta tidak sah.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN