Sekatan perjalanan terhadap Maria Chin tidak sah - Mahkamah - Utusan Malaysia

Sekatan perjalanan terhadap Maria Chin tidak sah – Mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan memutuskan sekatan perjalanan ke luar negara yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah, hampir empat tahun lalu adalah tidak sah.

Panel tujuh hakim bersidang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan bekas Pengerusi Bersih 2.0 itu.

Kuorum berkenaan berpendapat, Ketua Pengarah Imigresen melakukan kesilapan ketika menghalang Ahli Parlimen Petaling Jaya itu melakukan perjalanan ke Korea Selatan pada 15 Mei 2016.

Perjalanan itu bertujuan menerima anugerah bagi Bersih 2.0.  

Sekatan itu dikeluarkan ekoran tindakan Maria yang cenderung mengkritik Kerajaan.  Bagaimanapun, larangan itu ditarik balik pada 17 Mei 2016, dua hari selepas ia dikeluarkan.

Hakim Tengku Maimun berpendapat, sekatan ke luar negara yang dikenakan itu melanggar undang-undang kerana tiada peruntukan yang jelas bahawa Ketua Pengarah Imigresen dan dua yang lain mempunyai hak berbuat demikian.

Dalam keputusan minoriti itu, Hakim Tengku Maimun bersama-sama dua hakim lain iaitu Datuk P. Nallini dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal memutuskan Seksyen 59 dan Seksyen 59A Akta Imigresen adalah tidak berperlembagaan dan terbatal.

Sementara itu, Hakim Nallini dalam penghakimannya berpendapat, hak untuk melakukan perjalanan ke luar negara merupakan kebebasan diri yang termaktub di bawah Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan majoriti empat hakim lain pula berpendapat, Seksyen 59 dan Seksyen 59A Akta Imigresen masih sah untuk diguna pakai di sisi undang-undang.

Mereka ialah Tan Sri Rohana Yusuf, Datuk Abdul Rahman Sebli, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Mary Lim Thiam Suan.

Mahkamah tidak memberikan sebarang kos kerana kes itu melibatkan kepentingan awam.

Maria memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Ketua Pengarah Imigresen yang menghalangnya melakukan perjalanan ke Korea Selatan pada 15 Mei 2016, untuk menerima anugerah bagi Bersih 2.0.

Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakimannya pada 18 Mei 2017 manakala rayuannya ditolak di Mahkamah Rayuan pada 25 Mei 2018. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya