PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan segera menambah lantikan pegawai perubatan bagi menjamin tenaga kerja golongan tersebut mencukupi ketika negara dalam situasi kritikal memerangi Covid-19.
Presidennya, Prof. Datuk Dr. Subramaniam Muniandy berkata, situasi ketika ini memberi gambaran seolah-olah hospital kerajaan tidak cukup tenaga kerja.
“Kerajaan perlu menambah segera perjawatan tetap untuk pegawai perubatan bagi memastikan tenaga kerja di hospital mencukupi untuk meneruskan perjuangan menentang Covid-19 selain perkhidmatan kesihatan lain.
“Selain itu, pegawai perubatan yang belum diberi jawatan tetap sepatutnya ditawarkan kontrak lanjutan sekurang-kurangnya 10 tahun supaya mereka ini dapat menguasai kepakaran dalam bidang itu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Isnin lalu, kerajaan mengumumkan akan membuat tambahan lebih 3,500 petugas kesihatan dengan nilai peruntukan tambahan sebanyak RM150 juta.
Bagaimanapun, selepas kenyataan tersebut, kerajaan sehingga sekarang belum mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung perkara itu.
Sehubungan itu, menurut kenyataan itu, MMA masih menunggu maklumat mengenai penambahan 3,500 petugas itu kerana ia masih menjadi persoalan sama ada doktor-doktor baharu sudah ditambah.
“Selain itu, MMA minta kerajaan memberikan lebih banyak maklumat mengenai penambahan 3,500 pegawai kesihatan sama ada berjawatan tetap atau jawatan kontrak,” kata kenyataan itu.
Semalam, tular di media sosial, seorang petugas kesihatan Dr. Ali Noor Hassan didakwa meninggal dunia kerana kepenatan bertugas melawan Covid-19.
Bagaimanapun, isterinya Asilah Alqarny dalam catatan di Facebook mengesahkan pemergian arwah kerana penyakit acute respiratory distress’ di Hospital Kuala Lumpur (HKL). – UTUSAN