KUALA NERUS: Sebahagian jalan di pesisir Pantai Seberang Takir di sini ditutup sementara kepada semua kenderaan hingga Ahad ini.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Terengganu dalam satu kenyataan memaklumkan, penutupan laluan dua lorong dari arah Pantai Teluk Ketapang ke jambatan angkat itu bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya susulan kejadian limpahan ombak yang berlaku sejak malam tadi.
Katanya, kerja-kerja pembersihan sampah-sarap dan timbunan pasir yang dibawa ombak dalam kejadian tersebut kini giat dijalankan di kawasan itu.
“Orang ramai dinasihatkan mengambil jalan alternatif di laluan T69 Jalan Seberang Takir.
“JKR berharap semua pengguna jalan raya mematuhi papan tanda arah dan keselamatan yang disediakan,” kata kenyataan itu.
Kawasan Pantai Seberang Takir dibadai ombak malam tadi hingga melimpah ke jalan raya sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna laluan tersebut. – UTUSAN ONLINE