PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Luar Bandar mengambil inisiatif meneruskan empat program yang dirangka sepanjang tahun ini dengan sasaran sejumlah 4,650 peserta.
Menterinya, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad berkata, ia susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pengumuman pakej bantuan khas diumum Perdana Menteri,Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.
“Ia adalah program pembangunan ekonomi dan keusahawanan bagi golongan miskin, miskin tegar dan B40 luar bandar pada tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurut Abd. Latiff, inisiatif itu dikenali Program Peningkatan Pendapatan membabitkan 700 peserta dan Program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar dengan 200 usahawan terlibat.
Katanya, kementerian itu bakal merancakkan penglibatan usahawan luar bandar dalam platform digital melalui Program DesaMall@KPLB dengan peruntukan sebanyak RM4 juta.
Beliau berkata, usaha tersebut memberi manfaat kepada 1,500 usahawan desa untuk memasarkan produk secara dalam talian dengan liputan pasaran jauh lebih luas tanpa batasan.
“Turut diteruskan tahun ini ialah Program Desa Lestari yang lebih berbentuk inisiatif ekonomi berkelompok menyasarkan 11 kampung lagi dengan peruntukan RM10 juta,” katanya.
Kata beliau, program itu dijangka beri faedah ke[ada lebih 2,200 penduduk kampung di seluruh negara selain bantuan khas yang membabitkan lima agensi di bawah kementerian tersebut.
Antaranya Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang menawarkan penangguhan pinjaman bersasar kepada 10,000 bekas pelajar dengan implikasi kewangan sebanyak RM4 juta.
Tambah beliau, langkah penangguhan pembiayaan perniagaan bersasar terhadap 1,500 usahawan dengan kos tanggungan RM4.8 juta dan diskaun sewaan kepada 5,500 peserta.
“Inisiatif ke atas penyewa premis niaga Mara itu membabitkan nilai diskaun keseluruhan RM6.6 juta dan usaha dibuat ini akan memberi manfaat kepada 17,000 peserta,” katanya. – UTUSAN ONLINE