Sanusi terus dikecam batal cuti peristiwa Thaipusam - Utusan Malaysia

Sanusi terus dikecam batal cuti peristiwa Thaipusam

P. RAMASAMY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Timbalan Ketua Menteri II, Dr. P. Ramasamy menyifatkan tindakan Kerajaan Negeri Kedah membatalkan cuti peristiwa Thaipusam di negeri itu sebagai melampau.

Turut menyifatkan tindakan itu tidak masuk akal, beliau berkata, larangan mengadakan perayaan Thaipusam secara besar-besaran di kuil tidak bertujuan membatalkan percutian yang dimaksudkan.

Malah, beliau menyifatkan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor tidak dapat membezakan antara cuti umum yang dimaksudkan untuk Thaipusam dan mengapa perayaan Thaipusam dilarang disambut secara besar-besaran seperti tahun-tahun sebelum ini.

“Pulau Pinang atau kerajaan Pusat tidak pernah berusaha membatalkan cuti yang dikhaskan untuk Thaipusam.

“Pandemik Covid-19 mungkin tidak dapat dibendung untuk waktu yang lama tetapi kerajaan Persekutuan dan negeri sedang berusaha sedaya upaya membendung Covid-19,” katanya menerusi kenyataan di laman sosial Facebooknya hari ini.

Semalam, Muhammad Sanusi mengumumkan pembatalan cuti umum untuk Thaipusam tahun ini di negeri itu susulan pembatalan semua aktiviti bersempena Thaipusam kerana pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) untuk memerangi wabak Covid-19.

Bagaimanapun, pengumuman Muhammad Sanusi itu mengundang reaksi kurang senang banyak pihak antaranya Timbalan Presiden MIC, M. Saravanan yang menyifatkan keputusan itu menyerlahkan sikap angkuh dan jahil Menteri Besar Kedah berkenaan terhadap penganut Hindu.

Dalam pada itu, Ramasamy berkata, tidak ada keperluan membatalkan cuti yang dimaksudkan untuk Thaipusam di negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Perak dan lain-lain.

Ini kerana, jelasnya, wabak itu tidak akan wujud di sini selama-lamanya untuk kerajaan membatalkan cuti.

“Tetapi Muhammad Sanusi berfikir dan bertindak seolah-olah wabak Covid-19 akan wujud selama-lamanya.

“Bagaimanapun, saya tidak dapat melihat hubungan antara pembatalan perayaan Thaipusam dalam keadaan penularan wabak andemik dan keperluan untuk membatalkan percutian,” katanya.

Jelas beliau, walaupun acara-acara dan perarakan sempena Thaipusam dibatalkan, namun perayaan itu akan disambut oleh penganut Hindu secara terkawal dengan sembahyang di rumah.

“Malangnya, Muhammad Sanusi tidak memahami logik yang mudah.

“Dia tidak memiliki pemahaman untuk memisahkan pembatalan acara dan perarakan sempena Thaipusam dan percutian yang dimaksudkan untuk menandakan perayaan keagamaan tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya