PETALING JAYA: Sambutan Tahun Baru Cina tidak lama lagi pastinya berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya yang mana masyarakat perlu menyambutnya dengan norma baharu dan sederhana berikutan penularan pandemik Covd-19.
Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong mengingatkan semua masyarakat terutama bagi mereka yang bakal menyambut perayaan itu supaya sentiasa berjaga-jaga dengan kes penularan Covid-19.
Katanya, mereka hendaklah mematuhi segala arahan kerajaan dan tidak terlalu leka sewaktu menyambutnya di rumah masing-masing.
“Sudah tentu perayaan Tahun Baharu Cina tahun ini tidak sama seperti tahun sebelumnya. Dalam situasi pandemik yang melanda negara kita ini, masyarkat perlu patuh dengan arahan yang dikeluarkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Menurut Kok Seong, kerajaan pasti menetapkan had tetamu mahupun ahli keluarga dalam satu masa seperti mana yang dilakukan pada sambutan perayaan lain.
“Majlis makan malam besar juga dihadkan kepada ahli keluarga sesebuah rumah sahaja dan tidak boleh berkumpul seperti sebelumnya. Perayaan masih boleh disambut tetapi perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan sosial,” katanya.
Sementara itu, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menegaskan perkara sama yang mana masyarakat perlu membiasakan diri dengan sambutan perayaan norma baharu.
“Ini bertujuan mengekang dan mengawal penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat di negara ini dan demi keselamatan masing-masing,” katanya.
Tambahnya, cukup sekadar sambutan perayaan Tahun Baharu Cina dalam keadaan sederhana bersama keluarga terdekat.
“Apa yang penting adalah sentiasa memakai topeng pelitup muka dan menyediakan cecair pembasmi kuman serta menjaga penjarakan sosial.
“Minggu pertama perayaan ini mungkin merisaukan namun dengan mematuhi SOP yang betul anda dapat mengekang penularan wabak tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE