Salah faham SOP, pengutip besi didakwa cederakan polis - Utusan Malaysia

Salah faham SOP, pengutip besi didakwa cederakan polis

ARNEE Ahamad Pazir (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ipoh selepas didakwa atas tiga pertuduhan merusuh, merosakkan harta awam dan mencederakan seorang anggota polis di Balai Polis Lahat pada Ahad lalu. - UTUSAN/SHAARANI ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang pengutip besi terpakai mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan merusuh, merosakkan harta awam dan mencederakan seorang anggota polis Ahad lalu selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini hari ini.

Arnee Ahamad Pazir, 44, dituduh melakukan ketiga-tiga kesalahan itu pada pukul 11.40 pagi di Balai Polis Lahat, di sini.

Dia membuat pengakuan itu selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab.

Mengikut pertuduhan pertama, Arnee didakwa berkelakuan rusuh mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 yang boleh dihukum denda sehingga RM500 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan niat melakukan khianat iaitu menyebabkan kerosakan pada pintu cermin Balai Polis Lahat bernilai RM380.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Lelaki tersebut turut didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Koperal Mohamad Anuar Mohd. Noor dengan memukul kepalanya menggunakan topi keledar yang boleh menyebabkan kematian.

Bagi pertuduhan ini, dia didakwa di bawah Sekseun 324 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga sepuluh tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Asmaniza Muhamad manakala tertuduh diwakili peguam bela, Ranjit Singh.

Dalam rayuan kepada anak guamnya, Ranjit Singh memohon mahkamah mengenakan ikat jamin yang rendah memandangkan tertuduh hanya bekerja sebagai pengutip besi terpakai dengan pendapatan RM30 sehari.

Ranjit Singh turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa kejadian tersebut adalah salah faham antara tertuduh dengan anggota polis mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang tidak membenarkan pelanggan makan di kedai berhampiran balai tersebut berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Nur Melati Diana kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin ahli keluarga terdekat dan menetapkan 10 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN