Rumah batu 'mahligai' baharu untuk Abri - Utusan Malaysia

Rumah batu ‘mahligai’ baharu untuk Abri

ABRI Bah Ali (dua dari kanan) pada majlis peletakan batu asas pembinaan rumahnya di Kampung Kuala Senta, Bidor dekat Tapah, Perak, hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Sebuah rumah batu dua bilik menjadi mahligai baharu buat bekas anggota 69 Komando, Konstabel Abri Bah Ali, 60, dan anaknya, menggantikan pondok buruk mereka di perkampungan Orang Asli di Kampung Senta, di sini.

Hari ini majlis peletakan batu asas menandakan permulaan kerja-kerja pembinaan itu disempurnakan Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji.

Yang hadir sama Komander 69 Komando, Senior Asisten Komisioner Abdul Razak Mohd. Yusoff bersama Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd. (Gading Kencana), Datuk Dr. Ir. Muhamad Guntor Mansor Tobeng.

Kerja-kerja pembinaan tersebut dilakukan oleh 10 anggota Batalion 3 PGA Senoi Praaq dari Kem Bidor, di sini.

Menurut Abdul Ghani, pembinaan tersebut dilakukan menerusi kerjasama antara Briged Utara PGA dengan Gading Kencana iaitu sebuah syarikat pembekalan tenaga.

Katanya, projek pembinaan rumah baharu tersebut di atas tapak bekas pondok Abri itu bermula 12 Januari lalu dan dijangka siap dalam masa sebulan.

“Kita mengucapkan berbanyak terima kasih atas sokongan daripada semua pihak yang terlibat menjayakan program ini dan sesungguhnya kita amat prihatin dengan kehidupan Abri.

“Buat masa ini Abri dan anaknya tinggal di kuarters PGA Kem Bidor sehinggalah rumah baharunya siap dibina. Malah, rumah itu juga dilengkapi perabot sumbangan dermawan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Sementara itu, Abri ketika ditemui pula melahirkan rasa terharu selain tidak menyangka menerima rumah baharu.

Katanya, walaupun hidupnya daif sebelum ini tetapi dia masih merasa bersyukur selain tidak mahu menyusahkan orang lain.

“Saya rasa nak menangis apabila banyak dibantu khususnya kebaikan Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA Bidor, Superintenden Rosman Kasman yang minta saya tinggal di kuarters.

“Saya hidup memang susah tapi saya sudah biasa sama sepertimana semasa jadi komando,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Guntor berkata, pihaknya sangat berbesar hati membiayai kos pembinaan tersebut yang berjumlah kira-kira RM23,000.

“Kisah Abri sebenarnya diketahui oleh petugas Gading Kencana semasa melakukan kerja dekat perkampungan tersebut dan kemudian dilaporkan media.

“Bagi pihak Gading Kencana, kami amat gembira apabila dapat membantu wira negara seperti Abri yang jasanya sangat besar kepada negara kita,” ujarnya.

Utusan Malaysia pada Disember lalu menyiarkan kisah kedaifan wira negara ini yang tinggal di pondok buruk bersama anak lelakinya itu setelah berpisah dengan isterinya sejak 12 tahun lalu.

Abri yang menyertai Senoi Praaq pada tahun 1978 sebelum diserapkan ke dalam 69 Komando berhenti daripada PDRM setelah enam tahun bertugas sebelum pulang ke kampung halamannya.

Sepanjang berkhidmat dalam 69 Komando, Abri terbabit dalam tiga pertempuran dengan komunis termasuk kejayaan pasukan membunuh seorang anggota musuh.

Dia yang kini menjalani kehidupan seperti penduduk di perkampungan Orang Asli lain hanya bergantung dengan hasil mencari sayur-sayuran dan hasil hutan untuk dijual. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN