RFB Zon Utara sedia kerah anggota bomba bantu mangsa banjir - Utusan Malaysia

RFB Zon Utara sedia kerah anggota bomba bantu mangsa banjir

Saadon Mokhtar (kanan, dalam bot) ketika menunjukkan beberapa peralatan serta aset logistik yang dimiliki JBPM Pulau Pinang di BBP Bandar Perda, hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Pusat pangkalan hadapan atau Regional Forward Base‘ (RFB) bomba zon utara bersedia mengerahkan hingga 90 anggotanya pada satu-satu masa untuk membantu mangsa banjir khususnya di Johor dan Pantai Timur ketika ini jika bencana itu bertambah buruk.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri yang juga tuan rumah kepada RFB Zon Utara, Saadon Mokhtar berkata, jumlah 90 anggota itu merupakan hasil gabungan 30 anggota bomba di setiap negeri iaitu Pulau Pinang selaku tuan rumah, Perak, Kedah dan Perlis jika diperlukan.

Ketika ini, katanya, Pulau Pinang juga telah diberi tanggungjawab oleh Pusat Pengurusan Operasi di ibu pejabat JBPM untuk menjadikan Bandar Perda di Bukit Mertajam di sini sebagai pusat pengumpulan sumber manusia serta logistik yang berkaitan untuk RFB Zon Utara.

“Kita telah dilantik (sebagai tuan rumah) sejak Oktober tahun lepas dan sekarang, semua anggota yang terlibat berada dalam keadaan berjaga-jaga dan bersiap siaga sepenuhnya.

“Jika Pusat Pengurusan Operasi mengarahkan zon utara untuk membantu, maka, kita akan hantar pasukan kita bersama dengan peralatan logistik termasuk bot marin, lori dan sebagainya seperti yang diperlukan,” katanya.

Beliau ditemui selepas sesi taklimat dan pengenalan Aturgerak Sumber Manusia, Logistik serta Pengurusan RFB di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Perda, di sini hari ini.

Ketika ini, terdapat hampir 600 anggota untuk bahagian operasi di semua 20 buah balai bomba di lima daerah iaitu Timur Laut, Barat Daya, Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS) di Pulau Pinang.

Pada masa sama, aset logistik yang dimiliki oleh JBPM negeri pula merangkumi 31 buah bot, 12 buah lori, 29 buah kenderaan pacuan empat roda, lebih 600 pelampung atau jaket keselamatan serta kira-kira 30 set peralatan menyelam.

Dalam perkembangan lain, Saadon memberitahu, pihaknya telah mengenal pasti sekurang-kurangnya 36 kawasan ‘hotspot’ banjir di seluruh negeri ini.

Selain itu katanya, penumpuan juga akan diberikan terhadap kawasan-kawasan lereng bukit yang berisiko berlakunya insiden tanah runtuh.

“Setakat ini, kita telah kenal pasti dua atau tiga tempat yang kerap berlakunya tanah runtuh apabila hujan lebat terutamanya di kawasan yang rancak berlaku pembangunan khususnya dalam daerah Timur Laut,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya