ISKANDAR PUTERI: Meskipun ditegah daripada beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebuah pusat urut dan refleksologi di Taman Bukit Indah, di sini tetap berdegil menjalankan perniagaan mereka tanpa menghiraukan undang-undang.
Akibatnya, sembilan individu termasuk tiga wanita warga asing ditahan dalam Op Covid-19 dan Op Noda ketika serbuan di sebuah premis di kawasan itu, semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam operasi pada pukul 3.30 petang itu, kesemua suspek yang ditahan berusia lingkungan 22 hingga 49 tahun.
“Mereka terdiri tiga lelaki dan enam wanita yang merupakan pekerja di situ termasuk seorang juruwang premis berkenaan.
“Turut ditahan ialah tiga wanita warga asing iaitu warganegara Indonesia, Vietnam dan Thailand,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Dzulkhairi berkata, antara barangan yang dirampas termasuk kunci premis, monitor, jadual pekerja, telefon bimbit, tuala, minyak urut dan wang tunai berjumlah RM715.
Kes disiasat dibawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, seksyen 39, seksyen 6 (1) (c) akta sama dan kompaun atas kesalahan mengikut Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit. – UTUSAN