Pusat jagaan sementara bantu gelandangan di NS - Utusan Malaysia

Pusat jagaan sementara bantu gelandangan di NS

NICOLE Tan Lee Koon menyerahkan sumbangan kepada golongan memerlukan bantuan di Lorong Jawa, Seremban, Negeri Sembilan, hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan negeri sedang mengenal pasti sebuah pusat jagaan sementara untuk menempatkan golongan gelandangan bagi menyelesaikan isu tempat perlindungan golongan terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, pusat jagaan sementara tersebut boleh menempatkan seramai 20 gelandangan pada satu-satu masa dan ia boleh diselesaikan selewat-lewatnya bulan depan.

“Kami mengenal pasti tiga pusat jagaan sedia ada yang tidak beroperasi dan esok mengadakan mesyuarat bagi memutuskan pemilihan pusat jagaan yang sesuai.

“Cadangan sebelum ini adalah mewujudkan sebuah pusat transit gelandangan namun rumah yang dicadangkan tidak mempunyai sijil siap dan pematuhan (CCC) sekali gus menyukarkan kerajaan negeri menempatkan gelandangan di situ,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyerahkan sumbangan kepada individu memerlukan di Lorong Jawa, dekat sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri berhasrat mewujudkan sebuah pusat transit gelandangan bagi menempatkan 50 gelandangan pada satu-satu masa di sebuah banglo dua tingkat di sini.

Pusat transit tersebut adalah menerusi peruntukan sebanyak RM500,000 dalam Belanjawan Negeri Sembilan 2021 yang diluluskan awal Disember lalu.

Menurut Nicole, golongan gelandangan yang ditempatkan pusat jagaan sementara itu juga akan dibantu bagi mendapatkan pekerjaan melalui kerjasama daripada beberapa pihak.

“Kami turut menerima maklum balas daripada beberapa restoran di Seremban yang mahu menawarkan pekerjaan kepada gelandangan termasuk tempat tinggal dan gaji,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya