Proklamasi darurat perlu dihormati - KPN - Utusan Malaysia

Proklamasi darurat perlu dihormati – KPN

ABDUL HAMID BADOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan sekali-kali mengeksploitasi pengisytiharan darurat untuk sebarang tujuan bercanggah dengan perlembagaan dan undang-undang negara.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memberi jaminan tersebut dan menegaskan Proklamasi Darurat wajar dihormati  semua pihak demi keselamatan negara.

Menurut beliau, keputusan Yang di-Pertuan Agong sudah tentu dibuat setelah mengambil kira segala hal terutamanya berhubung penularan Covid-19 yang semakin meningkat.

“PDRM tidak sewenang-wenangnya mengeksploitasi pengisytiharan darurat ini untuk tujuan yang bercanggah dengan undang-undang negara, jadi mana-mana pihak tidak perlu risau wujudnya sebarang salah guna kuasa dalam tempoh ini.

“Sekiranya terdapat mana-mana pihak yang mengkritik Proklamasi Darurat ini, kita akan kaji aspek kritikannya. Jika dilihat kritikannya melanggar undang-undang, kita akan siasat,” katanya.

Abdul Hamid menegaskan, selain sibuk menjaga keamanan dan membanteras pelbagai jenis jenayah, pihaknya terus fokus menguatkuasakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) sebagaimana kuasa yang diberikan Kementerian Kesihatan.

“Penularan Covid-19 ini bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan. PDRM sendiri membekukan cuti pegawai dan anggota bagi memastikan pemantauan dan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipertingkatkan.

“Oleh itu, seboleh-bolehnya usaha kerajaan dalam menangani ancaman Covid-19 ini janganlah diganggu,” jelasnya.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan retorik politik berkenaan Proklamasi Darurat terus dimainkan oleh kelompok partisan yang pada hakikatnya gagal memainkan peranan ketika negara sedang menghadapi pandemik Covid-19.

Menurut Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, perdebatan itu seakan menunjukkan telah hilang rasa hormat kepada institusi Raja-raja Berperlembagaan kerana setelah hampir seminggu darurat berjalan, pertikaian berhubung kewajaran darurat, keabsahan eksekutif dan kuasa Yang di-Pertuan Agong masih lagi kedengaran.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya