'Polis tak tendang kami' - Utusan Malaysia

‘Polis tak tendang kami’

KEADAAN salah seorang penunggang motosikal yang cedera selepas terlibat dalam kemalangan ketika cuba melarikan diri daripada polis di persimpangan lampu isyarat Jalan Sri Tanjung, Tanjong Tokong, Pulau Pinang kelmarin. - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Penunggang motosikal yang terlibat dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Sri Tanjung di sini Ahad lalu mengaku mereka tidak dikasari atau ditendang anggota unit rondaan bermotorsikal (URB) ketika kejadian.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya telah merekodkan keterangan daripada lelaki berusia 21 tersebut semalam.

“Dia (penunggang motosikal) yang juga pekerja hotel itu mengakui tidak berlaku kejadian ditendang anggota polis berkenaan selain mendakwa tidak perasan ketika itu lampu isyarat berwarna merah.

“Dia yang mengalami patah kaki kanan juga sudah dibenarkan keluar wad petang kelmarin.

“Bagaimanapun, rakannya yang juga pembonceng berusia 19 tahun masih menerima rawatan di Zon Merah, Wad Kecemasan Hospital Pulau Pinang,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di sini hari ini.

Menurut Soffian, pihaknya tidak teragak-agak menahan individu lain yang cuba menimbulkan provokasi dalam isu berkenaan berpandukan soal siasat tangkapan pertama dan hasil rakaman video yang diperoleh.

Semalam, seramai tujuh lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung insiden sekumpulan individu disyaki mengepung dan menghalang tugas polis semasa kemalangan tersebut berlaku.

Kesemua mereka berusia antara 23 tahun hingga 45 tahun itu ditahan di sekitar daerah Timur Laut sejak pukul 8 pagi hingga 6 petang semalam.

Kelmarin, kejadian kemalangan itu tular dalam media sosial dengan mendapat pelbagai kecaman oleh netizen yang menuduh anggota polis terlibat sengaja menendang motosikal terbabit sehingga kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah.

Polis bagaimanapun menafikan penglibatan anggota berkenaan dan memaklumkan dua lelaki tersebut melanggar sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat itu ketika melarikan diri daripada anggota polis. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya