PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat pengacara sensasi, Azwan Ali berhubung dakwaan memperlekeh proklamasi darurat diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, siasatan dilakukan selepas polis menerima laporan terhadap rakaman video berdurasi 41 saat ditularkan pemilik akaun Facebook Zai Mikail, 12 Januari lalu.
“Azwan atau lebih dikenali sebagai Diva AA dipanggil ke Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman bagi membantu siasatan hari ini.
“Siasatan dijalankan USJT Bahagian D5 JSJ Bukit Aman mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Huzir, siasatan diteruskan untuk mengenal pasti pemilik akaun Facebook yang memuat naik dan menularkan klip video tersebut.
“PDRM menggesa orang ramai menjadi pengguna media sosial yang bijak dan berhemah serta tidak menggunakan platform itu sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta menganggu-gugat keharmonian negara.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap individu yang sengaja mengancam keselamatan dan ketenteraman awam,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE