Polis sangkal dakwaan wanita dikompaun di kawasan tidak sesak - Utusan Malaysia

Polis sangkal dakwaan wanita dikompaun di kawasan tidak sesak

AYOB KHAN MYDIN PITCHAY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis Johor menyangkal dakwaan seorang pengusaha kafe wanita yang mendakwa dikenakan kompaun kerana kesalahan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) tidak memakai pelitup muka di kawasan tidak sesak. 

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, hasil semakan pihak polis mengesahkan kejadian tersebut berlaku kira-kira 11 pagi di sebuah kafe di Jalan Pusat Komersil Yayasan 3, Segamat, semalam.

Katanya, siasatan yang dijalankan mendapati bahawa semasa kejadian ramai pengunjung yang lalu lalang mengunjungi kedai dan premis yang berhampiran kawasan tersebut.

“Ketika itu, bersama individu berusia 29 tahun itu ialah seorang wanita yang bekerja di kafe tersebut tetapi memakai pelitup muka. Kenyataan individu ini menyatakan di kawasan tersebut tiada orang dan tiada kesesakan adalah tidak benar sama sekali.

“Tindakan individu ini yang tidak memakai pelitup muka boleh menimbulkan kegusaran kepada orang awam lain yang berada di sekitar kawasan tersebut.

“Wanita itu telah dikenakan tindakan kompaun oleh pasukan tindakan khas pematuhan (SOP) Covid-19 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di bawah Peraturan 16(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawalan Tempatan Jangkitan) 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Semalam tular satu ciapan di Twitter mengenai ketidakpuasan hati seorang individu yang dikenakan kompaun kerana melanggar SOP.

Pihak polis telah mengesan pemilik akaun Twitter itu yang tidak berpuas hati atas tindakan pihak polis mengeluarkan kompaun kerana kesalahan tidak memakai pelitup muka.

Ayob Khan berkata, polis Johor memandang serius terhadap perkara itu dan tidak akan berkompromi serta akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak atau pun individu yang secara sengaja tidak mematuhi SOP dan peraturan yang telah ditetapkan untuk mengekang ancaman pandemik covid-19.

“Kesejahteraan rakyat Johor secara umum menjadi keutamaan polis Johor dalam melaksanakan tugas khususnya bagi usaha memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

“Polis Johor akan terus menggiatkan lagi usaha pematuhan SOP dan peraturan-peraturan kawalan penyakit berjangkit yang telah ditetapkan oleh kerajaan bagi menjamin kemakmuran masyarakat dan orang awam dalam negeri ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya