PETALING JAYA : Sebanyak 12 premis dalam kawasan pentadbiran daerah Ampang yang dikesan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian dipotong bekalan elektrik.
Tindakan itu dibuat dalam operasi bersama antara pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dan pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) pagi ini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, keseluruhan premis tersebut dikenal pasti menjalankan aktiviti judi dalam talian.
“Tindakan ini diambil mengikut peruntukan undang-undang mengikut Seksyen 21 A, Akta Rumah Judi Terbuka (Pindaam 2001) dan Akta Bekalan Elektrik 1990.
“Malah, tindakan memotong bekalan elektrik ini adalah satu daripada langkah yang diperuntukkan undang-undang bagi memastikan kegiatan judi dapat dihentikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Mohamad Farouk, sejak tahun lalu hingga sekarang, sebanyak lebih 30 premis dibuat pemotongan elektrik kerana menjalankan aktiviti judi dalam talian di daerah ini.
Katanya, pihaknya terus konsisten mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana premis yang terbabit dalam aktiviti perjudian.
“Sekiranya orang ramai mempunyai maklumat mengenai aktiviti judi dalam talian, bolehlah menyalurkan maklumat tersebut kepada pihak Polis dengan kadar segera,” tegasnya.-UTUSAN ONLINE