GEORGETOWN: Polis menafikan dakwaan tular dalam dalam media sosial yang mendakwa tiga anggotanya menendang motosikal ditunggang dua lelaki sehingga menyebabkan berlaku kemalangan serta kecederaan parah kepada mangsa di Tanjung Tokong, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku pukul 5.20 petang semalam di persimpangan lampu isyarat berhampiran sebuah pasar raya di Tanjung Tokong.
Beliau beliau, dalam kejadian itu, tiga anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) sedang membuat rondaan di Jalan Sri Tanjung Pinang dan terserempak dengan dua lelaki menunggang sebuah motosikal tanpa memakai topi keledar.
“Anggota URB mengarahkan mereka berhenti namun ingkar malah turut memecut motosikal melarikan diri.
“Anggota polis mengejar mereka dan apabila tiba di lampu isyarat berhampiran sebuah pasar raya, motosikal ditunggang dua lelaki tersebut tidak berhenti lalu berlaku pelanggaran dengan sebuah kereta,” katanya di sini hari ini.
Semalam, kejadian itu tular dalam media sosial dan warganet menuduh anggota polis terlibat sengaja menendang motosikal berkenaan sehingga mengakibatkan kemalangan serta kecederaan parah kepada dua lelaki tersebut.
Soffian berkata, kereta yang dipandu seorang lelaki dari arah pusat bandar menuju ke Tanjung Bungah itu gagal mengelak lalu melanggar kedua-dua lelaki tersebut.
“Pemandu kereta tidak mengalami kecederaan namun keretanya kemek di bahagian depan selain lampu dan bumper hadapan pecah,” katanya.
Tambahnya, polis enerima satu laporan daripada pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
“Polis masih menyiasat kes ini termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang awam dinasihatkan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau tepat berhubung kemalangan tersebut sehingga mengelirukan orang ramai,” katanya.
Katanya, siasatan berkaitan insiden berkenaan masih diteruskan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh tampil ke balai polis berhampiran.
“Mereka boleh menghubungi pegawai penyiasat dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPDTL, Inspektor Shahrul Nizam di talian 010-9771517 bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE