Polis nafi suspek tembak anggota PGA lolos - Utusan Malaysia

Polis nafi suspek tembak anggota PGA lolos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis menafikan dakwaan dua suspek yang disyaki terlibat dalam kes melepaskan tembakan ke atas anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di Bukit Kayu Hitam, dekat sini pada 12 November lalu lolos ketika berada dalam tahanan mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Sapii Ahmad berkata, pihaknya mengesan penyebaran maklumat tersebut yang tular dalam media sosial sejak semalam.

Katanya, maklumat tersebut mendakwa kononnya dua suspek terbabit yang merupakan warga tempatan berusia 36 tahun dan 37 tahun itu mempunyai senjata api serta cuba meloloskan diri ke Thailand.

“Kita ingin menegaskan bahawa kejadian itu tidak berlaku, sebaliknya dua suspek terlibat dibebaskan polis kerana tiada arahan penahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dibenarkan oleh mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan di sini di sini malam semalam.

Menurut Sapii, dua suspek tersebut adalah antara 15 yang ditahan susulan kejadian tembakan sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan anggota PGA di sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis pada 24 November lalu.

“Mereka disyaki turut terlibat dalam satu kejadian berasingan iaitu kes melepaskan tembakan ke atas anggota PGA di kawasan sempadan Malaysia-Thailand Bukit Kayu Hitam pada 12 November lalu.

“Hasil siasatan dijalankan, dua daripada mereka disyaki terlibat dengan kes melepaskan tembakan itu, selain disyaki terlibat dalam kes penyeludupan daun ketum ke Thailand serta kes pencerobohan dan khianat di kawasan sempadan Malaysia-Thailand Bukit Kayu Hitam,” ujarnya.

Katanya, siasatan bagi kes melepaskan tembakan ke atas anggota PGA telah selesai dijalankan dan kertas siasatan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya Negeri Kedah.

“Polis Kedah masih menunggu arahan dan nasihat lanjut bagi pertuduhan kes ke mahkamah,” jelasnya.

Pada masa sama, katanya, siasatan turut dijalankan ke atas kes berasingan iaitu penyeludupan daun ketum dan pencerobohan serta khianat di kawasan sempadan Bukit Kayu Hitam tersebut.

Tambahnya, dua suspek itu dibebaskan selepas permohonan reman bagi siasatan dua kes berkenaan ditolak oleh mahkamah pada semalam dan kelmarin.

Dalam kejadian pada 24 November lalu, anggota PGA, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, maut selepas terkena dua das tembakan pada dada dan perut, manakala Sarjan Norihan Tari, parah terkena tembakan pada kanan perut di Padang Besar, Perlis.

Sehari selepas itu, seorang lagi anggota PGA, Lans. Koperal Muhammad Amirul Amir, 26, cedera ditembak ketika melakukan rondaan Bukit Kayu Hitam dekat sini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya