PKPB: Lebih 4,000 kenderaan diperiksa SJR daerah Muallim - Utusan Malaysia

PKPB: Lebih 4,000 kenderaan diperiksa SJR daerah Muallim

SULIZMIE Affendy Sulaiman (kiri) memeriksa kenderaan dalam sekatan jalan raya di Kilometer 126, Taman Universiti di Tanjung Malim, Perak. - IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Lebih 4,000 kenderaan diperiksa menerusi empat sekatan jalan raya (SJR) di daerah Muallim sepanjang tiga hari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di negeri ini.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, dalam tempoh itu juga lebih 4,000 individu diperiksa dan antara mereka ada diarahkan uberpatah balik setelah dinasihatkan oleh polis.

Katanya, empat lokasi SJR di daerah Muallim membabitkan Kilometer 126 Taman Universiti, Tanjung Malim; Jambatan Sungai Bernam, Behrang Stesen; Plaza Tol Behrang dan Slim River.

“Tujuan sekatan raya dijalankan adalah mengawal pergerakan kenderaan masuk ke daerah tertentu tambahan lagi di Muallim ini kita bersempadan dengan Selangor yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, sepanjang dua minggu PKPB dilaksanakan, lebih 100 pegawai dan anggota ditugaskan bagi menjalankan penugasan Op Covid-19 di daerah Muallim.

Katanya, daripada jumlah itu 80 anggota bertugas di empat SJR manakala 20 anggota lain akan melakukan rondaan termasuk di premis makanan, pasar raya dan tempat tumpuan ramai bagi memastikan mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPB.

“Pihak polis akan mengambil tindakan tegas dan tidak berkompromi ke atas mana-mana pihak yang gagal mematuhi SOP PKPB terutama berkaitan rentas negeri bermula hari ini.

“Bagi mereka yang perlu merentasi negeri, dinasihatkan untuk mendapatkan surat kelulusan terlebih dahulu. Sekiranya tiada alasan atau surat kebenaran, kompaun dikenakan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020,” katanya.

Sementara itu, mengulas tindakan sepanjang tiga hari tempoh ‘kelonggaran’ yang berakhir semalam, beliau berkata, tiada kompaun dikeluarkan dan kadar pematuhan masyarakat terutama di sempadan negeri didapati pada tahap baik. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya