PKP: Pemilik kedai dandanan rambut sekali lagi terkesan - Utusan Malaysia

PKP: Pemilik kedai dandanan rambut sekali lagi terkesan

Tukang gunting rambut antara yang terjejas apabila PKP dilaksanakan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Noor Hidayah Kamarulzaman pernah berdepan cabaran hebat apabila terpaksa menutup operasi premis dandanan rambut miliknya lebih tiga bulan berikutan pelaksanaan Pe­rintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Bagaimanapun, wanita berusia 35 tahun itu langsung tidak pernah berputus asa, dia perlahan-lahan bangkit dan perniagaannya mendapat sambutan baik.

Kata Noor Hidayah, sambutan memberangsangkan mendorong dia mengambil tiga lagi pekerja baharu berbanding hanya dua sebelum ini.

Namun, baru sahaja dia kembali bernafas dalam bidang perniagaan tersebut, PKP kembali dilaksanakan di negeri ini sekali gus memberi tamparan hebat kepadanya apabila terpaksa menanggung pelbagai kos sepanjang premis yang terletak di Taman Putra Utama, Kangar, Perlis, ditutup.

NOOR Hidayah Kamarulzaman (berdiri, kanan) mengunting rambut pelanggan di Ammara Hair Salon, Taman Putra Utama, Kangar, Perlis, sebelum PKP, baru-baru ini.– UTUSAN/NAZLINA NADZARI

Kata pemilik Ammara Hair Salon itu, PKP memberi kesan agak teruk kepada perniagaannya kerana industri tersebut langsung tidak dibenarkan beroperasi.

“Perniagaan kami tidak boleh dilakukan secara dalam talian kerana perkhidmatan yang kami berikan adalah secara bersemuka. Kalau ada cuma menjual produk penjagaan rambut tetapi jumlahnya sedikit berbanding perkhidmatan di kedai dandanan rambut.

“Jika PKP kali ini berpanjangan, kami jangkakan kesan lebih teruk apatah lagi apabila sudah mengambil tiga lagi pekerja baharu berbanding hanya dua sebelum ini. Jadi komitmen kali ini lebih bertambah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutf, C Cut Management Services Sdn. Bhd., Muhammad Nasrullah Yahya pula menjangkakan perniagaannya tidak mampu bertahan lama sekiranya PKP terus dilaksanakan.

Katanya yang mempunyai enam cawangan kedai gunting rambut di sekitar Seremban, Ne­geri Sembilan dengan 35 pekerja keseluruhan, jika PKP diteruskan tanpa kebenaran diberi kepada pengusaha gunting rambut dan salon untuk beroperasi, perniagaan hanya mampu bertahan dalam tempoh sebulan.

“Saya perlu menampung per­belanjaan operasi syarikat sehingga RM110,000 sebulan termasuk gaji-gaji pekerja dan penyewaan premis. Sebenarnya, jika diikutkan kami memang tak boleh lagi bertahan, kini saya lakukan apa yang terdaya untuk menyelamatkan syarikat ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.

Muhammad Nasrullah yang merupakan penerima Anugerah Usahawan Muda Peringkat ASEAN 2019 berkata, kelonggaran perlu diberi supaya pengusaha kedai gunting rambut dapat beroperasi kerana mereka membuktikan dapat mengikuti segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Kami ikuti segala SOP ditetapkan MKN sebelum ini termasuk penggunaan apron pakai buang, pelitup muka, menyediakan rekod kehadiran serta mengikuti tempoh masa kehadiran pelanggan.

“Ada pengusaha yang mengambil inisiatif menambah SOP mereka supaya lebih ketat dan memang kami serius tidak mahu berlaku penularan pandemik di premis,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya