SEREMBAN: Semua masjid dan surau di Negeri Sembilan dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini.
Bagaimanapun, menurut Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, ia perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).
“Semua masjid serta surau di Negeri Sembilan dibenarkan mengadakan solat fardhu dan solat Jumaat sepanjang tempoh PKP dengan merujuk kepada SOP dikeluarkan JHEAINS sebelum ini.
“Jemaah diwajibkan membawa sejadah yang bersaiz besar, memakai pelitup muka, perlu mengambil wuduk di rumah dan mematuhi had keluasan melakukan ibadah di dalam ruang utama masjid sah,” katanya dalam sidang akhbar khas di sini hari ini.
Semalam Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, bermula 22 Januari ini seluruh negara kecuali Sarawak berada di bawah PKP.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata, bagi pusat ibadat bukan Islam, hanya aktiviti sembahyang dibenarkan.
“Rumah ibadat bukan Islam tidak dibenarkan mengadakan sebarang sambutan, majlis perayaan, perkahwinan dan pernikahan,” katanya.
Katanya, bagi memudahkan urusan rakyat, kerajaan negeri akan membuka semua kaunter perkhidmatan di negeri pada tempoh tersebut.
Sementara itu, Aminuddin turut berharap Majlis Keselamatan Negara (MKN) mempertimbangkan cadangan bagi membenarkan operasi premis makanan termasuk perkhidmatan penghantaran makanan dilanjutkan sehingga pukul 10 malam.- UTUSAN