PKP: Bicara pinda laporan Audit 1MDB dilapangkan - Utusan Malaysia

PKP: Bicara pinda laporan Audit 1MDB dilapangkan

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes meminda laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk mengelak daripada dikenakan tindakan yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Arul Kanda Kandasamy yang sepatutnya bersambung minggu hadapan di Mahkamah Tinggi, telah dilapangkan.

Ia berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri termasuk Kuala Lumpur yang bermula 13 Januari lalu sehingga 26 Januari ini.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah yang dikategorikan sebagai negeri yang berisiko tinggi dan tahap keupayaan perkhidmatan kesihatannya hampir mencapai kapasiti maksimum.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib ketika dihubungi media memaklumkan, perbicaraan kes disambung pada 22 Februari ini sebagaimana yang dijadualkan sebelum ini.

Menjawab pertanyaan mengenai keputusan permohonan Najib untuk mengugurkan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kes itu, Ahmad Akram memaklumkan ia berjalan seperti ditetapkan iaitu pada 27 Januari ini.

Pada 12 Jun lalu, Ahli Parlimen Pekan itu memfailkan permohonan untuk mengugurkan Sri ketika perbicaraan kes meminda laporan itu sedang dijalankan berikutan hantaran oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang mendakwa Sri Ram telah bertemu dengannya pada Januari 2018 dan mendakwa Sri Ram telah menyampaikan mesej agar Najib ditangkap.

Najib, 68, didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya bagi mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Sementara itu, Arul Kanda, 44, didakwa bersubahat dengan Najib meminda laporan itu untuk melindungi Najib daripada dikenakan tindakan.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Setakat ini tujuh saksi pendakwaan telah memberi keterangan termasuk bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya