PGA rampas lebih satu tan ketum - Utusan Malaysia

PGA rampas lebih satu tan ketum

Sebahagian ketum yang dirampas di Kampung Tengah, Kuala Perlis Selasa lalu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 18 mematahkan cubaan menyeludup 1,050 kilogram (kg) daun ketum dianggarkan bernilai RM31,500 dalam dua operasi di Kuala Perlis  Selasa lalu.

Rampasan melalui Op Bersepadu Benteng bersama polis  Kangar dan Pasukan  Polis Marin Kuala Perlis itu turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 54 tahun.

Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, rampasan pertama melibatkan 230kg daun ketum bernilai RM6,900 di dalam sebuah kereta jenis Perodua Kancil di tepi sungai berhampiran sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Wai, Kuala Perlis.

Katanya, bertindak atas maklumat risikan, pihak berkuasa  pergi ke lokasi terbabit dan mendapati seorang lelaki berada berhampiran kereta tersebut dengan keadaan enjin kenderaan hidup.

“Menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditahan. Pemeriksaan fizikal terhadap suspek tidak menjumpai apa-apa barang. Bagaimanapun, pemeriksaan  ke atas kereta menemukan 23 bungkusan plastik hitam berisi daun ketum.

“Kesemua barang itu dirampas dan suspek dibawa ke Balai Polis Kuala Perlis untuk tindakan lanjut. Ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methaphatamine,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata, rampasan kedua yang turut disertai Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Perlis pula melibatkan 820kg daun disyaki ketum bernilai RM24,600 di Kampung Tengah pada pukul 5 pagi.

Menurutnya, rampasan itu dilakukan berdekatan pelantar di tepi sungai di kampung tersebut dan mendapati terdapat longgokan plastik hitam dipercayai mengandungi daun ketum. 

“Anggota keselamatan  menunggu dan membuat pemerhatian namun tiada individu yang menghampiri atau mengambil bungkusan tersebut.

“Pemeriksaan terhadap longgokan plastik hitam tersebut mendapati di dalamnya mengandungi  daun ketum. Kesemua barang kes ke Pejabat Narkotik Kangar untuk tindakan lanjut,” ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya