PASIR GUDANG: Persatuan Raban Anak Sarawak Johor melancarkan Tabung Derma kepada keluarga Wilson Anak Bangau, iaitu jurukimpal yang maut dalam kejadian letupan di sebuah kilang memproses produk kelapa sawit di Tanjung Langsat di sini, semalam.
Pengerusi persatuan itu, Muhammad Danish Sangkan Jantom berkata, pihaknya berdukacita dengan kejadian itu dan terpanggil menggerakkan inisiatif bagi membantu keluarga mangsa.
“Kita tahu kos membawa pulang jenazah mendiang ditanggung majikan, namun tetap berasa bertanggungjawab membantu keluarga mendiang.
“Ini penting kerana mengikut adat masyarakat Iban, jenazah hanya dikebumikan selepas tiga hari tempoh berkabung. Sekurang-kurangnya derma ini diharap dapat meringankan beban keluarga,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Dalam kejadian semalam, Wilson, 45, maut akibat terkena letupan sebelum terjatuh daripada ketinggian 15 meter ketika sedang melakukan kerja kimpalan untuk membaiki penutup ruangan lubang tangki simpanan yang menyimpan kira-kira 800 metrik tan crude glycerin di kilang berkenaan.
Sementara itu, dua lagi rakannya iaitu Bonsi Buli, 42, yang juga terjatuh mengalami kecederaan patah kaki manakala Muhamad Syafiq Abdul Rahman, 23, pula mengalami kecederaan melecur di bahagian muka dan tangan.
Muhammad Danish berkata, mayat mendiang diterbangkan ke kampung halamannya di Kampung Kemintin Tengah, Sungai Klauh, Sri Aman, Sarawak dalam masa terdekat selepas selesai proses bedah siasat dan permit membawa pulang jenazah diperoleh daripada pihak berkuasa.
Katanya, orang ramai yang berhasrat memberi sumbangan boleh menghubungi bapa mangsa iaitu Bangau Anak Ngilah di talian 010-5935388 atau ke akaun CIMB iaitu 7033726777 atau berhubung dengan persatuan melalui talian beliau iaitu 011-70328560
Menurutnyai, antara yang tampil menghulurkan sumbangan ialah bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang disampaikan wakilnya. – UTUSAN ONLINE