ALOR SETAR: Skim mikro kredit berjumlah RM1 bilion yang merupakan sebahagian daripada pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) diharap dapat disalurkan sebagai modal permulaan kepada golongan yang mahu menceburi bidang perniagaan.
Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, perkara itu perlu menjadi pertimbangan kerajaan terutama buat golongan yang kehilangan pekerjaan sejak penularan pandemik Covid-19.
Katanya, pengenalan skim mikrokredit tersebut diharap mendatangkan pendekatan berbeza dengan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) diperkenalkan sebelum ini yang cuma memberi dana kepada perniagaan ‘berusia’ enam bulan ke atas.
“Dalam masa sama kita mengharapkan kerajaan melalui Kementerian Kewangan dapat segera memperincikan maklumat mengenai skim mikrokredit berkenaan yang disalurkan menerusi Bank Simpanan Nasional (BSN), Agrobank dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN).
“Diharapkan bantuan mikrokredit itu menjadi satu mekanisme bantuan yang mudah dimohon, tidak memerlukan dokumentasi rumit, cepat diluluskan serta benar-benar membantu penjaja mengharungi kesukaran perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Perdana Menteri ketika mengumumkan pakej bantuan khas Permai semalam menjelaskan, kemudahan mikrokredit itu merangkumi pinjaman mudah berjumlah RM390 juta oleh Bank Simpanan Nasional (BSN), RM350 juta oleh Agrobank dan RM295 oleh TEKUN.
Langkah itu bertujuan membantu aliran tunai perusahaan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berdepan cabaran besar ekoran penularan Covid-19.
Sementara itu, Syed Johan berkata, kerajaan turut diminta memberi perincian khusus terhadap golongan profesional serta M40 yang kelihatan seakan tertinggal daripada menikmati ‘kapal dana’ Permai.
Selain itu, katanya, beberapa perkara perlu turut diberi perhatian termasuk moratorium serta pengeluaran i-Sinar kategori dua yang mana syaratnya tampak tidak berubah berbanding sebelum ini.
“Kami berpandangan kalangan rakyat masih menantikan supaya dua perkara ini diberikan secara automatik.
“Kita mengharapkan kerajaan dapat bersifat lebih inklusif dalam mengumumkan sebarang pakej bantuan dan rangsangan ekonomi supaya semua pihak merasai nikmatnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE