Pergerakan pedati sempena Thaipusam dipantau - Utusan Malaysia

Pergerakan pedati sempena Thaipusam dipantau

Sebelum Covid-19, Thaipusam disambut meriah penganut agama Hindu di negara ini. – GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perpaduan Negara akan memantau pergerakan pedati bagi perayaan Thaipusam bermula dari kuil Sri Maha Mariamman, Kuala Lumpur ke Kuil Sri Subramaniam, Batu Caves bermula esok hingga Jumaat.

Kementerian itu menjelaskan, pemantauan dibuat mengikut kuasa yang terkandung di dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) iaitu bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Pemantauan juga dijalankan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri (JPM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, MKN menetapkan beberapa syarat ketat perlu dipatuhi sepanjang upacara, antaranya pergerakan pedati dibenarkan bermula pukul 3 pagi esok dan pulang ke kuil asal pada pukul 3 pagi, Jumaat ini.

Selain itu, katanya, penganut  tidak dibenarkan mengikut dan mengiringi pergerakan sepanjang perjalanan pergi ke Batu Caves dan perjalanan balik dari Batu Caves ke kuil asal.

“Pedati ini tidak dibenarkan singgah di mana-mana lokasi sepanjang  perjalanan pergi ke Batu Caves dan perjalanan balik dari Batu Caves ke kuil asal,” katanya.

Sementara itu, katanya, pihak kuil bertanggungjawab menyelaras dengan pihak PDRM dan DBKL untuk kawalan lalu lintas dan menjaga keselamatan upacara tersebut.

“Kebenaran khas ini diberikan setelah mengambil kira bahawa ia adalah upacara penting sebagai tanda permulaan sambutan Thaipusam,” katanya.

Sebelum ini, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai Covid-19 pada 18 Januari lalu memutuskan upacara Thaipusam tidak dibenarkan di rumah-rumah ibadat pada tahun ini.

Bagaimanapun, Kuil Sri Maha Mariamman  membuat permohonan khas untuk membawa kereta pedati dari kuil Sri Maha Mariamman ke Kuil Sri Subramaniam.

MKN kemudian memutuskan supaya permohonan itu dibenarkan namun, pihak penganjur upacara perlu mematuhi syarat-syarat ketat.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN