Percepat pemberian komputer riba - Pemuda UMNO - Utusan Malaysia

Percepat pemberian komputer riba – Pemuda UMNO

ASYRAF WAJDI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa mempercepat pemberian komputer riba kepada 150,000 murid di 500 buah sekolah rintis seperti mana yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2021.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jumlah itu bersamaan tiga peratus daripada anggaran 4.7 juta murid daripada keseluruhan 10,220 buah sekolah rendah dan sekolah menengah yang bakal menerima komputer riba hasil kerjasama kerajaan dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Beliau berkata, penyaluran sumbangan komputer riba perlu dipercepatkan memandangkan sesi persekolahan melalui kaedah Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPr) sudahpun bermula.

“Pada masa sama, nasib lebih 4.7 juta murid lain di 10,220 sekolah rendah dan menengah yang berkemungkinan tidak memiliki sebarang peralatan yang bersesuaian untuk PdPR seperti telefon pintar atau laptop harus diberikan perhatian serius.

“Kementerian Pendidikan seharusnya lebih proaktif dan segera menangani pelbagai isu dan kekangan pembelajaran agar tidak berlaku sebarang fenomena keciciran daripada arus pendidikan di kalangan rakyat dalam suasana pandemik yang sudahpun masuk tahun kedua ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Mingguan Malaysia hari ini melaporkan, di Balik Pulau, Pulau Pinang sebuah telefon pintar terpaksa dikongsi empat beradik untuk mengikuti PdPR.

Nasib mereka lebih menyedihkan apabila sesi PdPR berlaku serentak, sedangkan keluarga ini tidak mampu membeli sebuah komputer riba.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi menambah, buat jangka masa pendek, perlu diperluaskan siaran TV Pendidikan dengan menukar beberapa saluran televisyen milik kerajaan kepada TV Pendidikan sepenuhnya sepanjang sekolah ditutup akibat pandemik.

“Justeru, kerajaan seharusnya memanfaatkan kuasa penuh di bawah Ordinan Darurat ketika ini untuk mendesak syarikat-syarikat konglomerat menyumbang komputer riba kepada murid-murid sekolah.

“Kerajaan juga perlu mengarahkan stesyen televisyen swasta berbayar seperti Astro bagi menyediakan saluran pendidikan dengan pemantauan Kementerian Pendidikan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya