Penolong penguasa penjara dituduh rasuah - Utusan Malaysia

Penolong penguasa penjara dituduh rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang penolong penguasa penjara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah, lima tahun lalu.

Tertuduh, Zaharil Effendy Zaharudin, 38, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa meminta suapan RM20,000 daripada seorang individu berusia 61 tahun di tepi Jalan Pantai Chenang, Langkawi dekat sini kira-kira pukul 12 tengah malam, 12 Mei 2016. 

Tertuduh yang bertugas di Penjara Koreksional Perlis didakwa meminta rasuah itu sebagai dorongan untuk menukar kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dihadapi seorang individu lain, kepada kesalahan di bawah seksyen lebih ringan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima RM1,300 daripada individu sama menerusi akaun simpanan Maybank adik iparnya sebagai dorongan melakukan perbuatan sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Simpang Kuala, Kota Setar pada 22 Mei 2016.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa menerima suapan bagi dirinya daripada warga emas terbabit berjumlah RM700 menerusi akaun simpanan sama di lokasi serupa pada 23 Mei 2016.

Untuk pertuduhan terakhir, tertuduh didakwa menerima RM1,000 menerusi akaun simpanan Maybank isterinya sebagai dorongan melakukan perbuatan sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 25 Julai 2016.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sew Ping di bawah Seksyen 21(b) Akta SPRM 2009 (Akta 694).

Tertuduh diwakili peguam, Mohd. Khairul Hafizuddin Ramli.

Mahkamah membenarkan jaminan berjumlah RM35,000 bagi semua pertuduhan dengan tertuduh diarahkan menyerahkan dokumen perjalanan selain perlu melapor diri di pejabat SPRM terdekat sebulan sekali.

Tertuduh membayar jaminan berkenaan dengan sebutan semula kes ditetapkan pada 28 Februari ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya