Peniaga Kuala Terengganu mengeluh air keruh - Utusan Malaysia

Peniaga Kuala Terengganu mengeluh air keruh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Masalah air yang berlarutan di bandar ini sejak beberapa minggu lalu makin menghimpit penduduk, bahkan rata-rata peniaga mengeluh kerana urusan perniagaan mereka terjejas. 

Seorang pengusaha nasi ganja, Norharizan Hassan, 41, berkata, setiap pagi dia terpaksa ‘membazirkan’ air di premisnya yang terletak  di Kampung Losong Atap Zin di sini lebih satu jam gara-gara sumber air yang keruh. 

Katanya, walaupun sudah lebih dua minggu masalah itu berlaku namun sehingga hari ini belum ada  tanda-tanda akan pulih. 

“Kami tidak menerima sebarang notis gangguan dan apabila telefon pihak Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (Satu) mereka hanya mengatakan  paip pecah. 

“Susah hendak berniaga kalau berlarutan begini sebab saya perlu memasak tetapi air keruh pada waktu pagi dan terpaksa tunggu berjam-jam untuk kembali jernih,” katanya kepada pemberita di sini hari ini

Tambah Norharizan, tambah tertekan apabila air langsung tiada pada tengah hari sekali gus menyukarkan pelanggan membasuh tangan dan urusan lain. 

Justeru, kata wanita itu, sebelum pulang dari berniaga dia terpaksa mengambil masa untuk menadah air bagi kegunaan memasak pada keesokan harinya.

Sementara itu, seorang peniaga laksa, Midah Hitam, 65, berkata,  masalah air di Kampung Nibong bukan perkara baharu dan sudah lama berlaku. 

Katanya, pernah beberapa kali dia menutup operasi perniagaan kerana ketiadaan air di premis. 

“Terpaksa suruh anak atau menantu menadah air di telaga berdekatan untuk memudahkan kerja-kerja memasak laksa terutama membasuh ikan dan ulam-ulaman. 

“Saya tidak tahu bila masalah ini akan selesai dan walaupun susah tetapi saya tiada pilihan kerana masih perlu berniaga untuk mencari rezeki,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya