Peniaga emas kerugian RM49,600 - Utusan Malaysia

Peniaga emas kerugian RM49,600

AHMAD AZIZUL MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang peniaga kedai emas kerugian RM49,600 akibat ditipu lelaki yang menyamar sebagai ‘pembeli’ selepas berurusan dengan suspek melalui panggilan telefon dalam kejadian di sini, Ahad lalu.

Selepas menyedari dia ditipu keesokan harinya, wanita berusia 20 tahun itu segera membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah dan Komersial (JSJK) negeri, Superintedan Ahmad Azizul Mohamed berkata, seorang lelaki menghubungi mangsa kononnya ingin membeli barang kemas bernilai RM49,600 dari kedai tanpa mahu melihat barangan itu terlebih dahulu.

Katanya, bagi membuat pembayaran, suspek meminta nombor akaun bank kedai emas itu dan selepas membuat semakan, mangsa mendapati wang RM49,600 dimasukkan suspek pada hari yang sama.

“Pada keesokannya iaitu Isnin, ketika mangsa berada di kedai emasnya, seorang wanita datang mendakwa mewakili suspek untuk mengambil barang kemas yang dibeli.

“Mangsa menyerahkan kepada suspek wanita itu seutas rantai leher, beberapa utas rantai tangan dan beberapa kepingan emas 999.9 dengan nilai berjumlah RM49,600,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Namun katanya, lewat petang hari yang sama, mangsa dihubungi polis Johor bagi membantu siasatan melibatkan wang RM49,600 yang dimasukkan oleh seorang mangsa jenayah penipuan di Johor ke akaun bank milik mangsa.

Susulan itu mangsa segera membuat laporan polis menafikan penglibatannya dengan kes penipuan di Johor selain turut merasakan ditipu dalam urusan jual beli emas tersebut.

“Siasatan awal mendapati seorang mangsa di Johor pada 16 Januari lepas berminat dengan iklan jualan sebuah kenderaan di dalam media sosial lalu menghubungi penjual (suspek kes di Kota Bharu).

“Dia telah membuat dua transaksi bayaran iaitu RM2,400 pada 16 Januari ke satu akaun bank milik individu sebagai wang tempahan dan seterusnya RM49,600 lagi pada hari berikut ke akaun bank milik kedai emas di Kelantan.

“Mangsa di Johor juga telah membuat laporan polis pada 18 Januari setelah mengesyaki telah ditipu apabila suspek penjual tidak lagi dapat dihubungi dan kenderaan yang dibeli tidak diterimanya,” katanya.

Tanbahnya, siasatan polis mendapati nombor talian yang digunakan suspek juga pernah terlibat dengan satu kes penipuan e-dagang melibatkan jual beli kenderaan yang tidak wujud di Pahang pada Disember tahun lepas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya