RANTAU PANJANG: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 melumpuhkan aktiviti pengedaran dadah selepas menahan empat lelaki dalam serbuan di Kampung Hutan Pasir, Tendong di sini malam tadi.
Dalam serbuan pukul 9 malam itu, pasukan tersebut merampas 87 biji dadah jenis Erimin, 61 bungkus air ketum, lapan botol ubat batuk dan wang tunai.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintenden Azhari Nusi berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk wang tunai dianggarkan berjumlah RM2,367.
“Kesemua suspek yang ditahan berusia 23 hingga 25 tahun dan mereka tidak mempunyai rekod jenayah.
“Bagaimanapun, saringan ujian air kencing mendapati hanya suspek berusia 25 tahun positif dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Azhari berkata, siasatan awal mendapati suspek mendapat bekalan dadah daripada seorang lelaki yang dikenali sebagai Mat untuk dijual kepada penagih sekitar kawasan Tendong.
Dalam perkembangan lain, Azhari berkata, kawalan di sempadan Malaysia-Thailand khususnya di Rantau Panjang dan Tumpat terus perketatkan biarpun ditenggalami air sejak beberapa hari lalu.
Katanya, walaupun berdepan kesukaran akibat bencana berkenaan, rondaan tetap berjalan seperti biasa.- UTUSAN