SHAH ALAM: Seorang penganggur bakal berdepan dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki menggunakan kayu penyodok, September tahun lalu.
Tertuduh, K. Kumaran, 37, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Yang Zaimey Yang Ghazali selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua orang anak itu menyebabkan kecederaan parah seorang lelaki berusia 35 tahun dengan menggunakan sebatang kayu penyodok yang boleh menyebabkan kematian.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Matang Pagar, Sungai Buloh dekat sini kira-kira pukul 1 pagi pada 28 September tahun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum dipenjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Baizura Mohd. Saubian menawarkan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bersama syarat tambahan iaitu tertuduh atau ahli keluarganya tidak boleh mendekati serta menghubungi mangsa menerusi sebarang medium serta perlu melaporkan diri setiap awal bulan di balai polis berhampiran.
Kumaran tidak diwakili peguam memohon jaminan terhadapnya dikurangkan berikutan tidak bekerja sejak setahun lalu dan isterinya hanya bekerja sebagai pekerja pembersihan dengan gaji RM1,000 sebulan selain menampung dua anak mereka.
Hakim Yang Zaimey kemudian menetapkan jaminan RM11,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan pihak pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan 23 Februari hadapan sebagai tarikh fakta kes dan jatuh hukum. – UTUSAN