KUALA LUMPUR: Permohonan menghina mahkamah terhadap bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam ditetapkan ditetapkan untuk pendengaran penuh pada 18 Mac ini.
Timbalan Pendakwa Raya. Mustafa P. Kunyalam ketika dihubungi memberitahu, tarikh tersebut ditetapkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan sewaktu pengurusan kes di sini, hari ini.
“Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes bagi memaklumkan mahkamah berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan bertarikh 14 Januari lalu. Pihak-pihak akan berhujah pada 18 Mac ini,” katanya yang mewakili pihak pendakwaan.
Turut hadir pada prosiding hari ini ialah Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib manakala Lokman diwakili peguam-peguam bela, Deepa Nair Thevaharan dan Nadia Mohd. Izhar.
PAda 14 Januari lalu, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan Lokman untuk mengetepikan kebenaran yang diperoleh oleh Peguam Negara (ketika itu Tan Sri Tommy Thomas) untuk memulakan prosiding komital terhadapnya.
Pada 22 Oktober 2019, Mahkamah Tinggi di sini memberikan kebenaran kepada Tan Sri Tommy Thomas yang merupakan Peguam Negara ketika itu, untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman yang dinamakan sebagai responden kerana menghina mahkamah sebanyak dua kali pada 25 September 2019.
Pada 13 Mei 2020, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Lokman untuk mengetepikan kebenaran itu dan berpandangan Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam membuat keputusan permohonan kebenaran Peguam Negara itu tanpa mewajarkan campur tangan mahkamahnya.
Tommy memulakan prosiding komital terhadap Lokman dengan memohon supaya lelaki terbabit dipenjara atau didenda atas perbuatannya menghina mahkamah.
Menurut permohonan yang difailkan, Lokman dalam satu temu bual video bertarikh 25 September 2019 telah mengeluarkan perkataan berbaur ancaman atau ugutan terhadap Datuk Amhari Efendi Nazaruddin yang juga bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Razak.
Pada hari yang sama, Lokman telah membuat laporan polis terhadap Amhari Efendi juga merupakan saksi pendakwaan kelapan dalam perbicaraan kes Najib yang didakwa berhubung penyelewengan dana Syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah hampir RM2.3 bilion berhubung keterangan yang diberikannya.
Tujuan tindakan responden, kata Peguam Negara, adalah untuk mengganggu dan mengugut Amhari Efendi, saksi-saksi lain dan mana-mana saksi berpotensi yang mungkin tampil untuk memberi keterangan terhadap Najib pada perbicaraan kes 1MDB. – UTUSAN ONLINE