PUTRAJAYA: Pendakwa raya memberitahu Mahkamah Rayuan di sini bahawa pihaknya menarik balik rayuan terhadap hukuman denda RM10,000 yang dikenakan ke atas `Abang Botak’ kerana kesalahan memecahkan cermin hadapan sebuah kereta menggunakan topi keledarnya.
Sehubungan itu, panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Supang Lian membatalkan rayuan tersebut.
Dengan itu, keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 20 Januari tahun lalu yang mengenakan denda RM10,000 atau penjara 12 bulan terhadap Danial Abdullah Tan, 32, kekal.
Pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Faizah Mohd. Salleh manakala peguam Azura Alias mewakili responden.
Bekas pembantu stor itu mengaku melakukan perbuatan khianat hingga menyebabkan kerosakan pada cermin bahagian hadapan kereta Perodua Axia, milik Siew Chean Voon, 58, menggunakan topi keledar miliknya di Jalan Kasturi, Seksyen 12, Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, dekat sini pukul 5.30 petang, 28 Mei 2019.
Rakaman video kejadian itu tular di laman sosial yang menunjukkan cermin hadapan kereta seorang pemandu dipecahkan oleh seorang penunggang motosikal akibat membunyikan hon kereta. – UTUSAN ONLINE