Pencemaran habuk, syarikat didenda RM25,000  - Utusan Malaysia

Pencemaran habuk, syarikat didenda RM25,000 

NG Yong Seng (kiri) mewakili syarikatnya, Lennor Metal Sdn. Bhd. bertanyakan sesuatu kepada polis selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM:  Sebuah syarikat memproses dan mengumpul bahan lusuh logam didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini berikutan kegagalan mengawal pencemaran habuk di premisnya di Jalan Ladang Datuk Harun, Seksyen 36 di sini.

Syarikat Lennor Metal Sdn. Bhd. selaku orang kena saman (OKS) didakwa atas dua pertuduhan iaitu gagal mengawal pencemaran habuk dan mengemukakan dokumen notis arahan yang dikenakan terhadap premis tersebut.

Bagi pertuduhan pertama, syarikat yang diwakili Pengarahnya, Ng Yong Seng,28, didakwa pertuduhan gagal memastikan langkah kawalan pencemaran habuk ketika pengendalian barang lusuh logam di premisnya.

Premis tersebut didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31(3) akta yang sama.

Bagi pertuduhan kedua, syarikat yang didaftar pada Julai 2015 itu didakwa gagal memberikan maklum balas dalam bentuk laporan bertulis, dokumen dan gambar yang berkaitan dengan tindakan dikenakan terhdapanya.

Berdasarkan pertuduhan tersebut, premis itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 37(1)  Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 37(2) akta yang sama.

Premis itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di syarikatnya pada 5 Ogos 2019, pukul 11.15 pagi.

Yong Seng yang tidak diwakili peguam memohon denda dikurangkan berikutan premisnya telah mengeluarkan belanja agak tinggi untuk membina sistem saliran air bagi kerja-kerja mengawal pencemaran habuk.

“Syarikat mengakui kesilapandilakukan dengan tidak membuat laporan yang diminta oleh Jabatan Alam Sekitar. Bagaimanapun, ini  kesalahan pertama dan berharap mahkamah mengenakan hukuman ringan berikutan buat masa ini syarikat perlu menanggung kos lebih sejak pandemik Covid-19,” katanya.

Bagaimanapun, Hakim Rofiah Mohamad dalam penghakimannya menjelaskan, kesalahan dilakukan melibatkan kepentingan awam dan memberi kesan kepada masyarakat kerana berada bersebelahan dengan sebuah sekolah memandu.

“Kesalahan menyebabkan gangguan kepada persekitaran dan syarikat ini didapati gagal mengambil langkah sewajarnya tentang kawalan habuk. 

“Notis arahan dikeluarkan pada 2018, namun syarikat gagal mengambil tindakan dan ini menunjukkan ada kedegilan pada premis tersebut. Hukuman yang dikenakan ini setimpal dan menjadi pengajaran supaya tidak mengambil mudah atas kesalahan dilakukan,” katanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Nor Faizura Mohd. Ali. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya