MELAKA: Kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dilihat langsung tidak mencerminkan perpaduan sebagai rakan sepasukan di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka, Azalina Abdul Rahman berkata, tuduhan tidak berasas yang mengaitkan perlakuan curi dan beli ahli UMNO dilihat seakan percubaan untuk lebih mengeruhkan keadaan.
Katanya, dakwaan Asyraf Wajdi itu juga seakan-akan takut kepada bayang-bayang sendiri dan membenarkan lagi kenyataan bahawa ahli UMNO semakin berkurangan.
“Secara jelas, Bersatu kini menjadi wadah utama perjuangan parti Melayu yang secara tidak langsung menarik hati sebahagian besar orang Melayu menyertainya termasuk menarik minat bekas ahli-ahli parti lain sebelumnya.
“Malah, secara asasnya tiada paksaan berpolitik di Malaysia, rakyat bebas memilih mana-mana parti politik yang ingin disertai serta yang difikirkan mampu menggalas tanggunggjawab memperjuangkan asas-asas perjuangan parti politik itu sendiri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Asyraf Wajdi menerusi hantaran di Facebook beliau Sabtu lalu mendesak Bersatu supaya berhenti daripada ‘mencuri’ dan ‘membeli’ ahli UMNO sekiranya mahu meneruskan kerjasama dalam kerajaan PN.
Dakwa Asyraf, Bersatu membayar sehingga RM100 kepada setiap ahli UMNO yang menyertai parti itu, malah cawangan yang ditubuhkan pula diberi peruntukan RM3,000 hingga RM5,000. – UTUSAN