Pemuda Pas Kedah buat laporan terhadap Zunar - Utusan Malaysia

Pemuda Pas Kedah buat laporan terhadap Zunar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pemuda Pas Kedah hari ini membuat laporan polis terhadap pelukis satira politik, Zulkiflee Anwar Haque atau nama penanya, Zunar kerana didakwa memfitnah Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor.

Ketua Pemuda Pas negeri, Nurul Amin Hamid berkata, laporan polis dibuatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap dekat sini pukul 11.30 pagi tadi.

“Menerusi lukisan dimuat naik di Facebooknya, Zunar seolah-olah menggambarkan Muhammad Sanusi sebagai pemecah belah kepada hubungan kaum yang harmoni di negeri ini.

“Sedangkan perkara sebaliknya berlaku di Kedah di mana kerajaan negeri sama sekali tidak pernah mendiskriminasi mana-mana kaum,” katanya ketika dihubungi  hari ini.

Rabu lalu, Muhammad Sanusi mengumumkan kerajaan negeri memutuskan untuk tidak mengisytiharkan sambutan Thaipusam pada 28 Januari ini sebagai cuti peristiwa.

Kartun yang dimuat naik di laman Facebook Zunar itu menggambarkan seorang individu berbaju hijau dengan tulisan nama ‘Sanusi’ di tangannya, sedang menetak meja diduduki empat individu berketurunan Melayu, India, Cina dan Siam.

Terdapat tulisan ‘Tiada cuti Thaipusam’ pada senjata digunakan untuk menetak meja tersebut selain pernyataan yang mendakwa orang Kedah hidup aman damai sebelum kedatangan individu yang menetak meja itu.

Nurul Amin berkata, karya tersebut terang-terangan memfitnah Menteri Besar apabila nama Sanusi turut diletakkan pada karakter kartun berkenaan.

“Jelas, lukisan ini menimbulkan kebencian terhadap Muhammad Sanusi. Justeru kami amat berharap supaya pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap Zunar di atas perbuatannya kerana ini fitnah besar.

“Isu cuti Thaipusam juga telah banyak kali kita jelaskan rasionalnya. Oleh itu Zunar tidak sepatutnya menggunakan bakat dimiliki untuk melakukan fitnah,” katanya. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya