Pemuda Pas Jerlun sumbang telefon pintar  - Utusan Malaysia

Pemuda Pas Jerlun sumbang telefon pintar 

ABDUL Hadi Omar (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan telefon pintar kepada seorang pelajar keluarga miskin di Jerlun, Kedah hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERLUN: Dewan Pemuda Pas Kawasan Jerlun mengambil inisiatif menyampaikan sumbangan telefon pintar kepada lima pelajar yang kurang berkemampuan di kawasan Parlimen ini hari ini.

Ketuanya, Abdul Hadi Omar berkata, sumbangan tersebut bertujuan memberi kemudahan kepada pelajar terbabit mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian. 

Menurutnya, sumbangan berkenaan digerakkan setelah menerima aduan mengenai ramai dalam kalangan pelajar di Parlimen Jerlun menghadapi masalah mengikuti PdPR kerana tidak mempunyai kemudahan gajet.

“Saya mendapati ada keluarga yang mempunyai enam orang anak dan anak-anak mereka terpaksa berkongsi telefon pintar ketika sesi PdPR.

“Malah, ada juga tiga beradik terpaksa berkongsi menggunakan telefon ibu dan lebih sedih lagi, ada yang tiada langsung kemudahan telefon,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan sesi persekolahan yang bermula Rabu lalu melalui kaedah PdPR menimbulkan perdebatan terutama berkaitan masalah ketiadaan peranti dalam kalangan murid kurang berkemampuan serta isu capaian internet yang lemah.

Program sumbangan tersebut merupakan usaha sama di antara Dewan Pemuda Pas Kawasan Jerlun dan sebuah Pertubuhan Penyayang Jerlun (Jerlun Care).

Abdul Hadi memberitahu, Dewan Pemuda Pas Kawasan Jerlun bercadang untuk meneruskan program sumbangan telefon pintar fasa kedua selepas ini supaya lebih ramai pelajar daripada keluarga miskin dapat mengikuti PdPR dengan lebih selesa.

“Insya-Allah kami akan mengagihkan sebanyak lima lagi telefon bimbit sekiranya mendapat bantuan kewangan daripada orang ramai,” katanya.

Pada masa sama, beliau menambah, pihaknya juga merancang untuk memberi sumbangan komputer riba kepada mahasiswa daripada keluarga miskin di Parlimen ini.

Orang ramai yang ingin terlibat dalam menjayakan program sumbangan telefon pintar itu boleh memberi sumbangan ke akaun Maybank 552068512164 atas nama Jerlun Care. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN