KEMAMAN: Seorang pemuda berdepan detik cemas selepas keretanya dihempap dua batang pokok ketika memasuki kawasan parkir di hadapan sebuah hotel di Geliga di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, Muhammad Hazli Harun, 27, dari Gemas, Negeri Sembilan dikatakan mahu meletakkn kereta Proton Saga miliknya setelah keluar makan malam di Chukai.
Katanya, kejadian itu hanya disedari selepas terdengar bunyi dentuman kuat di atas bumbung kereta.
“Saya baru sahaja masuk ke tempat parkir dan belum sempat hendak keluar dari kenderaan, tiba-tiba terdengar bunyi kuat hingga bergegar kereta.
“Saya tidak tahu apa yang berlaku kerana keadaan gelap tetapi apabila keluar, saya nampak pokok sudah menghempap kenderaan, mujurlah pintu masih boleh dibuka,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Muhammad Hazli bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun keretanya kemek di bahagian bumbung dan belakang.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Mohd. Zailani Abdullah berkata, kejadian dua pokok tumbang akibat angin kencang turut menyebabkan sebuah lagi kenderaan jenis Honda Accord mengalami kerosakan di bahagian bumbung selain pecah pada cermin hadapan.
Katanya, bomba dengan kekuatan 11 anggota bersama jentera ditugaskan ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu.
“Alhamdulillah, kejadian ini tidak melibatkan sebarang kecederaan kepada pemilik kenderaan.
“Operasi memotong dua batang pokok tumbang sepanjang kira-kira enam meter dan usaha mengeluarkan dua kenderaan tersebut mengambil masa lebih satu jam,” katanya. – UTUSAN ONLINE