JELEBU: Seorang pemilik kedai tayar mengaku bersalah atas dua pertuduhan menggunakan kad kredit milik individu lain tanpa kebenaran di Mahkamah Majistret Jelebu dekat sini hari ini.
Tertuduh, Leong Miow Hiong, 41, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan terhadapnya di hadapan Majistret, Muhammad Hidayat Wahab.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh pada 31 Disember tahun lalu, lebih kurang pukul 9.05 malam bertempat di 99 Speedmart Cawangan Titi secara tidak jujur menggunakan kad kredit HSBC yang dimiliki Loh Sin Kan, 70, berjumlah RM255.60 bagi membeli barangan keperluan makanan untuk anaknya berupa susu formula.
Pertuduhan kedua, tertuduh pada 31 Disember tahun lalu, lebih kurang pukul 9.33 malam bertempat di Mr. DIY Cawangan Kuala Klawang secara tidak jujur menggunakan kad kredit HSBC milik orang yang sama berjumlah RM152.85 untuk membeli peralatan bengkelnya.
Tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum dibawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih lima tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.
Muhammad Hidayat kemudiannya menjatuhkan hukuman 15 bulan penjara, denda RM3,000 dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan.
Tertuduh juga boleh dipenjara selama empat bulan jika gagal membayar denda. Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, anak perempuan kepada Loh Sin Kan pada 31 Disember tahun lalu pada pukul 9 malam semasa di rumahnya di Shah Alam, Selangor telah mendapat tahu daripada adiknya telah menerima mesej daripada pihak bank terdapat penggunaan kad kredit milik ayahnya di Speedmart berjumlah RM255.60 dan Mr. DIY RM152.85.
Pada 1 Januari lepas, kira-kira pukul 2 petang, pengadu telah pergi ke Mr. DIY Tesco Setia Alam untuk meminta bantuan pihak Mr. DIY bagi mengesan penggunaan kad kredit berkenaan sebelum dimaklumkan kad tersebut telah digunakan di Mr. DIY Cawangan Kuala Klawang, Jelebu.
Pada 2 Januari lalu, pada pukul 2.30 petang, abang saudara pengadu telah pergi ke Mr. DIY Kuala Klawang untuk melihat rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) dan melihat seorang lelaki menggunakan kad kredit itu.
Pada waktu kad berkenaan digunakan, ayah pengadu tiada di rumah yang mana pengadu mengesyaki ayahnya telah hilang sejak 31 Januari dan telah membuat laporan polis di Balai Polis Damansara, Selangor. – UTUSAN