PETALING JAYA: Pemecatan Tan Sri Annuar Musa selaku Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) tidak pernah dirundingkan sesama parti komponen dalam BN mahupun diputuskan oleh Dewan Tertinggi BN.
MCA memaklumkan, pucuk kepemimpinannya terkilan dengan laporan media berhubung pemecatan berkenaan.
Katanya, sebarang pelantikan ke jawatan dalam BN, ia perlu dibuat berlandaskan Perlembagaan BN dan secara konvensinya pencalonan haruslah dibentangkan serta dipersetujui secara konsensus di dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN.
“Begitu juga dengan sebarang pemecatan mana-mana pihak daripada jawatan seperti Setiausaha Agung dan Bendahari Agung BN.
“Setakat ini, MCA belum mendapat sebarang notis Mesyuarat Dewan Tertinggi BN. Maka, tiada ulasan lanjut yang boleh dibuat pada ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Mazlan berkata, Annuar tidak dipecat sebaliknya digantikan olehnya berikutan jawatan Setiausaha Agung BN kebiasaannya dipangku individu yang sama. – UTUSAN ONLINE