Pembuat kek bangkit semula jadi pengukir kayu - Utusan Malaysia

Pembuat kek bangkit semula jadi pengukir kayu

NURUL Aini Mat Besar@Alias menunjukkan reka bentuk ukiran kayu dihasilkannya di Bunut Payong, Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Penularan pandemik Covid-19 sejak awal tahun lalu memaksa Nurul Aini Mat Besar@Alias menukar kerjaya daripada seorang pembuat kek kepada pe­ngukir kayu sepenuh masa.

Nurul Aini, 32, berkata, selepas negara diancam Covid-19, kek buatannya tidak lagi laku dijual manakala tempahan membuat kek diterima merosot teruk menyebabkan dia hampir berputus asa.

Namun dia bersyukur berjaya bangkit semula dengan memanfaatkan bakat seni dan kreativiti dimiliki untuk menjadi seorang pengukir kayu.

“Akibat pandemik, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ketika itulah jualan kek saya mulai merosot.

“Bertitik tolak dari situlah saya terpaksa mengubah haluan dengan mencari pekerjaan baharu untuk menyara keluarga,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Nurul Aini memberitahu, diterima bekerja sebagai pereka di Dauza Craft, Bunut Payong di sini iaitu sebuah syarikat yang menghasilkan cenderamata menggunakan kayu pada Jun tahun lalu, umpama rezeki terpijak baginya.

“Sekurang-kurangnya saya masih dapat menterjemahkan segala ilmu ditimba di menara gading dan kreativiti diri ini dengan menghasilkan corak-corak menarik pada ukiran kayu,” jelasnya.

Nurul Aini adalah pemegang ijazah Sarjana Muda Seni Halus dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Katanya, pada peringkat awal, dia tidak yakin dengan pekerjaan itu kerana memerlukan ketelitian di samping fokus yang tajam yang mana jika tersilap langkah boleh menyebabkan keseluruhan ukiran terpaksa dibuang.

“Alhamdulillah berkat soko­ngan suami, Mohd. Zil Syazwan, 36, dan rakan-rakan sekerja, saya dapat melaksanakan tugas dengan baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya