KLUANG: Seorang pemandu treler maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan kereta Perodua Myvi di Kilometer 85 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah Selatan malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.46 malam itu, mangsa, K. Krishnan, 66, mengalami cedera parah dan dipercayai tersepit di bawah trelernya.
Sementara pemandu Perodua Myvi, Muhamad Naim Muhamad Hata, 29, yang turut mengalami kecederaan dikejarkan ke hospital dengan ambulans.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, PBK II Khairul Nizam Aresat berkata, mangsa yang tersepit di bawah lori dibawa keluar dengan bantuan sebuah kren.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pembantu pegawai perubatan,” katanya ketika dihubungi hari ini. – UTUSAN